Monday 8 August 2011

Sahabat

Add caption
Sebenarnya nilai persahabatan merupakan satu nilai yang tinggi. Disebabkan itu, seorang yang menghargai nilai persahabatan itu memandang sahabatnya sebagai tempat untuk menyatakan segala-galanya, dan sahabatnya itu sebagai tempat untuk berkongsi masalah. Bagi saya, persahabatan itu tidak mengira umur, pangkat dan darjat mahupun jantina. Jadi seseorang itu boleh bersahabat dengan sesiapa sahaja yang dia mahu kerana seperti kata-kata yang dipetik oleh teman saya, ”itu adalah hak asasi manusia”. Perlu diketahui juga apakah tujuan seseorang untuk bersahabat, adakah untuk suka-suka mengisi masa lapang atau untuk menimba ilmu dari sahabat itu kerana bak kata pepatah ”carilah ilmu sampai ke Negara China sekalipun”. Jadi ilmu itu boleh didapati di mana-mana bukan sahaja dari buku atau dalam bentuk tulisan, tetapi dari isi percakapan daripada seorang sahabat juga terkandung ilmu tersebut. Kembali pada tujuan dalam mencari sahabat, berkemungkinan seseorang mencari sahabat demi mencari jodoh dan kemudian membuat pilihan hati antara sahabat-sahabatnya. Ataupun, ”sambil menyelam minum air”, seseorang punya banyak tujuan untuk mencari sahabat atau memang mencari sahabat itu sudah menjadi kewajipan bagi setiap manusia di alam semesta ini. Kerana itu, tidaklah kita menjadi seperti ”katak di bawah tempurung” yang hanya bersendirian dan tidak bersosial kerana manusia saling memerlukan antara satu sama lain untuk melengkapkan hidup mereka seperti seorang manusia yang normal.

Maka timbullah persoalan bagaimana jika perasaan dari seorang sahabat bertukar menjadi kekasih. Kita tidak perlu sebarang alasan untuk mengulas bagaimana perasaan sebegitu boleh terjadi kerana perasaan seorang manusia itu tersangat halus, tidak mudah ditafsirkan dengan kata-kata. Ya, memang benar dalam bersahabat, lelaki dan perempuan, ada kecenderungan untuk mereka saling jatuh cinta . Saya percaya ini berlaku secara semulajadi yang diwarisi dari adam dan hawa. Jadi, tidak sukar untuk menukar perasaan daripada sahabat kepada perasaan sayang terhadap kekasih. Tidak dapat dinafikan bahawa bersahabat terkandung seribu satu manfaat. Tetapi jika salah memilih sahabat, mungkin kita akan terpesong dari landasan dan niat yang sebenar dalam mencari sahabat itu tadi.

Sebenarnya terdapat banyak kebaikan dari kekurangnnya apabila seorang sahabat menjadi kekasih. Kelebihan yang saya fikirkan ialah masing-masing antara mereka pasti sudah mengenali dan memahami antara satu sama lain. Tambahan, segala perilaku, tindak tanduk dan sikap sahabatnya sudah difahami dan dikenali. Mungkin, tanpa disedari dirinya sudah bertemu dengan wanita yang mampu memahami dirinya. Jadi, sedikit demi sedikit perasaannya berubah daripada sahabat bertukar kekasih. Tetapi, kekurangan yang paling utama pula, bila hubungan tersebut terputus di tengah jalan, seorang lelaki itu bukan sahaja kehilangan kekasih tetapi berkemungkinan juga hilang sahabatnya tidak kiralah baharu sahaja berkenalan atau teman lama.

Jadi, setiap individu yang inginkan persahabatan yang positif haruslah juga menerima takdir dengan fikiran dan akal yang positif. Justeru, tidaklah pula terjadinya kehilangan sahabat jika cintanya terhadap sahabat itu tadi tidak kesampaian. Bak kata pepatah ”kawan biar seribu, kasih biar satu”. Maka dengan itu, sahabat harus diterima walau apa sahaja yang sudah berlaku di antara mereka.

No comments:

Post a Comment